Monday, January 16, 2012

Cara Ketua Polis Kelantan Menangani Rakyat Tempatan Ke Mundok Tidak Ekonomik & Merugikan

Monday, January 16, 2012
Dari sudut potensi pelancongan, Bukit Lata boleh dibangunkan menjadi satu pusat ekonomi dengan kehadiran pelancong-pelancong dari luar. Secara faktanya Bukit Lata sudah mula dikenali oleh masyarakat luar dan kini sudah mula berkembang.

Negeri Kelantan kini telah hilang satu daripada eko-pelancongan terpenting iaitu daerah Bukit Lata yang bersempadan dengan Mundok, Thailand yang terkenal sebagai tempat membeli belah.

Pengumuman Ketua Polis Kelantan beberapa minggu lepas tentang larangan ke Mundok melalui Bukit Lata agak tidak ekonomik dan merugikan.

Bayangkan kawasan Bukit Lata yang sebelum ini menerima ratusan pelancong malahan ribuan setiap minggu kini sudah lengang ekoran daripada ancaman ancaman Ketua Polis Kelantan untuk mengenakan kompaun sebanyak RM10,000.00 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya sekali kepada mereka yang ingkar.
Rakyat setempat yang terdiri daripada golongan peniaga dan pengusaha bot penumpang kini telah hilang punca pendapatan.

Ketika Bukit Lata mula menampakkan potensi satu daerah pelancongan yang dapat dikembangkan, Ketua Polis Kelantan dengan kuasanya telah mengeluarkan arahan menghalang rakyat tempatan daripada melakukan aktiviti harian mereka.

Ketua Polis Kelantan dengan kuasa yang ada sepatutnya mengangkat kepada pihak berwajib supaya menyediakan kemudahan yang sewajarnya.

Jika dikatakan mereka yang menyeberangi sungai Golok untuk ke Mundok adalah tidak sah, wujudkanlah satu kompleks imigresen atau pos sementara bagi mendokumenkan mereka yang keluar masuk. Caranya tentulah ada. Jika Ketua Polis Kelantan seorang yang bijak, beliau tentu dapat memikirkannya.
Jika aktiviti bot tambang dikatakan tidak selamat, kuatkuasakanlah penggunaan lessen-lesen bot penumpang kepada mereka agar mereka mematuhi aspek keselamatan seperti menyediakan jaket keselamatan dan tidak mengambil penumpang secara berlebihan.

Kenapa Ketua Polis Kelantan cepat melatah? Apakah beliau merasakan keadaan sudah tidak dapat dikawal?
Bayangkanlah, rakyat setempat ada yang mempunyai keluarga hanya diseberang Mundok. Untuk pergi ke laluan Rantau Panjang, Pengakalan Kubor, Tumpat dan Bukit Bunga, Tanah Merah adalah sangat jauh dan tidak efektif.

Saya percaya Kerajaan Thailand adalah terbuka dalam permasalahan ini. Apa pun masalah yang mungkin timbul, sudak pasti pihak atasan kedua-dua buah Negara boleh duduk semeja bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Dari sudut potensi pelancongan, Bukit Lata boleh dibangunkan menjadi satu pusat ekonomi dengan kehadiran pelancong-pelancong dari luar. Secara faktanya Bukit Lata sudah mula dikenali oleh masyarakat luar dan kini sudah mula berkembang.

Kerajaan boleh mewujudkan satu Kompleks Perniagaan di kawasan Bukit Lata yang berhampiran dengan Mundok. Galakkan kepada peniaga-peniaga tempatan untuk berniaga di sana. Barangan yang ditawarkan mestilah standing dengan barangan yang ada di Mundok. Sudah pasti Bukit Lata akan berkembang menjadi pusat pelancongan kerana pengunjung-pengunjung sudah pun tersedia ada pada setiap hujung minggu malahan setiap hari. Dalam jangka masa panjang tidak mustahil Bukit Lata pula yang akan lebih dikenali oleh warga Thailand. Diketahui bahawa rakyat Thailand lebih mempercayai produk-produk buatan Malaysia terutamanya makanan yang lebih berkualiti dan lebih terjamin status halalnya.

Hasilnya akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi penduduk setempat dan akan wujud satu peluang pekerjaan bagi penduduk manakala Kerajaan Negeri pula akan memperoleh pendapatan hasil daripada kegiatan ekonomi penduduk Bukit Lata.

Tindakan menghalang rakyat tempatan daripada terus ke Mundok ternyata satu tindakan mengejut yang boleh mematikan kegiatan ekonomi rakyat Kelantan dan ternyata amat merugikan.


0 comments
Related Posts with Thumbnails