Tuesday, August 17, 2010

Onar Indonesia: Nelayan Ditahan Ketika Di Perairan Negara

Tuesday, August 17, 2010

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Maklumat awal pihak berkuasa Malaysia mendapati tujuh nelayan tempatan yang ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia pada Jumaat lalu, tidak bersalah kerana masih berada dalam perairan negara ketika kejadian.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pekara itu disahkan sendiri beberapa menteri dan pegawai atasan Indonesia ketika pertemuannya dengan mereka semasa berkunjung ke Padang, Sumatera semalam.

“Selain itu, pihak berkuasa Indonesia juga mengakui, isu penangkapan berkenaan telah disensasikan oleh media mereka sendiri (Indonesia).

“Ketika kejadian, kita dimaklumkan bahawa semua nelayan Malaysia tersebut masih berada di perairan Kota Tinggi, Johor, sebelum dibawa ke perairan Indonesia oleh pihak berkuasa negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa Bersama Media anjuran Kementerian Pertahanan di Hotel The Royale Chulan di sini hari ini.

Jumaat lalu, tujuh nelayan tempatan ditahan dan dipercayai dibawa ke perairan Indonesia oleh sebuah bot penguat kuasa perikanan negara itu ketika menangkap ikan di perairan Kota Tinggi, Johor.

Ahmad Zahid menjelaskan, beliau berada di Padang semalam bagi menghadiri majlis angkat sumpah Gabenor Sumatera Barat yang baru, Dr. Irwan Priyanto dan berkesempatan berbincang dengan beberapa menteri Indonesia berkenaan kejadian penahanan nelayan itu.

Beliau menegaskan, pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini dalam keadaan bersiap sedia bagi memastikan keselamatan nelayan tempatan yang menangkap ikan di perairan antarabangsa terutama di Selat Melaka dan sekitar Pulau Batam, Indonesia.

“Saya juga telah mengarahkan pasukan TLDM memantau dan memaklumkan mengenai sebarang pergerakan di sekitar kawasan tersebut dan pihak berkuasa kedua-dua negara dinasihatkan supaya tidak bertindak agresif demi menjaga hubungan baik kita,” katanya.

Dipetik dari Utusan Malaysia


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails